Hadith Rasulullah s.a.w.

"Sebaik-baik pekerjaan (perbuatan) itu adalah bersederhana (laskada)".



Saturday 6 November 2010

Aurat ; Pandangan & Saintifik

Jilbab adalah pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya. Syeikh Dr. Yusof al-Qaradawi menerangkan “sebahagian perempuan Jahiliyah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya seperti dada, leher dan rambut sehingga mereka ini diganggu oleh lelaki-lelaki fasik (jahat) dan yang suka berzina, kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (`afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka akan kejahatn atau orang-orang munafik.

Jadi jelaslah bahawa ayat al-Quran dan Hadith di atas ini menjadi `illah (alasan) sebagai perintah utama kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau kerana tidak percaya kepada mereka, sebagaimana anggapan sesetengah orang tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya pula dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina.

Ayat di atas juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah S.W.T. adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.

Berikut adalah kesalahan yang biasa dilakukan oleh para wanita Islam moden zaman ini akibat daripada ceteknya ilmu dan singkatnya kefahaman berkaitan aurat dalam perspektif Islam :

1. Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.

2. Bertudung tetapi ber T-shirt lengan pendek.

3. Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah di kaki.

4. Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk bahagian tubuh yang menggoda.

5. Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul pada hujung rambutnya.

6. Bertudung tetapi hanya untuk ke pejabat sahaja, tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

7. Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya.

8. Bertudung tetapi tudungnya nipis hingga kelihatan sanggul, leher dan dadanya.

9. Bertudung tetapi menayangkan betisnya ketika menaiki motor sepanjang jalan.

10. Bertudung sempurna tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki, bernasyid dan menyanyi.

Sebahagian wanita hari ini menyangka bahawa menutup aurat itu menutup rambut sahaja. Ini adalah pendapat yang tidak tepat sama sekali jika jika kita merujuk kepada firman Allah S.W.T.: ertinya:

“Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan janganlah kamu mendedahkan aurat dan perhiasan kamu kecuali apa yang terzahirnya”.
(an-Nur:31)

Pengertian ‘khumur’ (tudung) iaitu semua alat yang dapat dipakai untuk menutup kepala. Sedangkan apa yang ‘juyub’ jamak dari perkataan ‘jaibun’ iaitu belahan dada yang terbuka, tidak tertutup oleh pakaian atau baju. Setiap wanita Islam wajib menutup kepalanya dan bahagian dadanya dengan tudung sehingga semua tempat yang boleh membawa fitnah tertutup dari pandangan orang-orang yang jahat hatinya.

Menurut pandangan Syeikh Dr. Yusof Al-Qaradawi yang dimaksudkan dari perhiasan perempuan dalam ayat di atas pula, “apa sahaja yang dipakai untuk berhias dan untuk mencantikkan tubuh baik dalam bentuk ciptaan asli seperti wajah, rambut dan potongan badan, ataupun buat-buatan seperti pakaian,perhiasan, make-up dan sebagainya. Ini kerana perhiasan yang dipakai oleh wanita hari ini adalah berlebihan dan melampau untuk menarik perhatian dan menunjuk-nunjuk apabila berada di luar rumah. Jadi jelaslah hukumnya adalah haram. Sesempurna mungkin seorang muslimah harus bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan perhiasannya, termasuk wajahnya sendiri demi menjaga dari meluasnya kerosakan dan banyaknya kefasikan di zaman kita ini lebih-lebih lagi sekiranya muslimah tersebut mempunyai paras muka yang cantik yang sangat dikhawatirkan akan menimbulkan fitnah. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. :

“Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah saya lihat keduanya itu: (1) kaum yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam), (2) perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar pundak unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian”. (Riwayat Muslim)

Mereka dikatakan berpakaian kerana mereka melilit pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaian itu tidak berfungsi untuk menutup aurat kerana itu mereka dikatakan telanjang, kerana pakaiannya yang terlalu nipis hingga kelihatan kulit tubuhnya seperti kebanyakkan perempuan hari ini.

Diriwayatkan dalam sebuah hadith :

Ertinya ; Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya) Riwayat al-`Uqayli, Dar Qutni dari Abu Hurairah.

Menurut Imam Mujahid, hadith ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi s.a.w. memalingkan wajahnya maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respond Rasulullah s.a.w. memuji dan menyebut hadith di atas. Berdasarkan dalil ini juga, bermakna Allah sentiasa melaknati wanita yang tidak berseluar panjang (di sebelah dalamnya) semasa naik kenderaan. Demikian menurut kaedah Mafhum Mukhalafah di dalam Ilmu Usul fiqh.

Begitu juga Islam memandang berat tentang kelunakan suara wanita khususnya wanita muslimah. Tidak ada dakwah yang sesuai buat wanita menerusi nyanyian kerana sesaat sahaja dia berada di pentas dengan pakaian canggihnya, seribu mata lelaki yang memandangnya. Apakah kita dapat menjangkakan ke arah mana pandangan mata tersebut memandang. Suaranya yang merdu juga membuatkan lelaki yang rosak hatinya akan dibuai nafsu, walaupun nasyid wanita itu mendendangkan lagu ketuhanan. Allah S.W.T berfirman :

Ertinya: “Janganlah perempuan-perempuan itu berlaku lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit”.
(al-Ahzab:32)

Pemakaian Jilbab mempunyai syarat tertentu, sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Muhammad Nashirudin Albani dalam bukunya berjudul ‘Hijabul Maratil Muslimah fil Kitabi was Sunnah’ iaitu :

1. Menutup seluruh badan kecuali yang dikecualikan. Sebagaimana yang telah disepakati oleh Jumhur Ulamak iaitu muka dan tapak tangan. Termasuk juga bahagaian yang dikecualikan itu pakaian sebelah luar. Firman Allah ;

“…kecuali yang biasa nampak daripadanya”. (an-Nur ; 31)

Maksudnya disini adalah tidak boleh menampakkan perhiasan kepada ajnabi kecuali yang tidak mungkin dapat disembunyikan lagi.

2. Tidak ada hiasan pada pakaian itu sendiri. Syarat ini adalah berdasarkan firman Allah ;

“…janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliyah dahulu”. (al-Ahzab ; 33)

Kata Imam Azd-Dzahabi dalam bukunya ‘al-Kabaair’, “ Di antara perbuatan terkutuk yang sering dilakukan oleh wanita ialah menampakkan perhiasan emas dan permata yang dipakainya di bawah kerudung, memakai wangi-wangian kasturi dan anbar bila keluar rumah, memakai pakaian warna warni, sarung sutera, baju luar yang licin, baju panjang yang berlebih lebihan panjangnya. Semua itu termasuk dalam jenis pakaian yang dibenci Allah, di dunia dan di akhirat. Kerana perbuatan itu telah melanda kebanyakkan wanita, maka Rasulullah s.a.w. bersabda tentang mereka yang bermaksud;

“Aku melihat neraka, maka yang aku lihat kebanyakkan penghuninya ialah wanita”.

3. Kain yang tebal tidak tembus pandang. Menutup tubuh dengan pakaian nipis dan tembus pandang sudah tentu tidak betul, bahkan dapat menambah bencana pada wanita yang memakainya. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud ;

“Akan terdapat dalam golongan umatku, para wanita bertelanjang sedangkan mereka berpakaian. Sanggul mereka ditinggikan seperti bonggol unta, kutuklah mereka sesungguhnya mereka memang terkutuk”.(at-Thabari dalam al-Mu`jamush Shaghir).

4. Longgar dan tidak sempit atau ketat. Tujuan berpakaian adalah untuk menghindari dari fitnah dan bencana. Tujuan tersebut tidak mungkin tercapai melainkan dengan pakaian yang tidak menonjolkan bentuk badan. Adapun pakaian yang ketat dan sendat akan memperlihatkan bentuk badan seluruhnya. Diriwayatkan oleh Adh-Dhiya’ al-Muqaddasi dalam bukunya ‘al-Ahaditsul Mukhtarah’ Ahmad dan Baihaqi dengan sanadnya hasan :

“Usamah binti Zaid bercerita, “Rasulullah s.a.w. memberiku pakaian tenunan Qubthiya (Mesir) dari bahan katun, tebal tetapi jarang, iaitu hadiah dari Dihyah al-Kalbi untuk baginda, lalu aku berikan pula kepada isteriku. Rasulullah s.a.w. menanyakan kepadaku, “Mengapa baju tenunan Qubthi itu tidak kamu pakai?”. Jawabku, “Baju itu ku berikan kepada isteriku”. Sabda baginda, “Suruh dia memakai baju dalam kerana dikhuatirkan pakaian itu membayang sehingga terbayang tubuhnya”.

5. Tidak menyerupai pakaian lelaki. Menyerupai (tasyabbuh) yang dilarang adalah kerana ingin berlagak seperti lelaki atau menampakkan diri seperti lelaki. Rasulullah s.a.w. bersabda, dari Abu Hurairah r.a. katanya, “Rasulullah s.a.w. mengutuk lelaki yang memakai pakaian perempuan, dan perempuan yang memakai pakaian lelaki”. (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majjah, Al-Hakim dan Ahmad/Hadis sahih menurut syarat Muslim).

6. Tidak menyerupai pakaian orang kafir. Nabi s.a.w. mendorong kaum muslimin agar mempunyai identiti sendiri yang membezakannya dengan ahli kitab. Kerana itu Rasulullah s.a.w. berulang-ulang melarang pengikutnya menyerupai (tasyabbuh) dengan mereka (orang kafir). Antara lain baginda bersabda sebagai berikut ;

Dari Ali bin Abi Thalib r.a. dari Rasulullah s.a.w. sabdanya; “Jangan memakai pakaian para pendeta, siapa yang berpakaian dengan pakaian mereka, atau menyerupai pakaian mereka, maka dia bukan golonganku”. (Hadith riwayat Thabarani dalam al-Awsath).

7. Pakaian yang menunjukkan kemewahan dan kemegahan. Rasulullah s.a.w. bersabda ; “Siapa yang memakai pakaian yang menunjukkan kebesaran dan kemegahan, maka Allah memakaikan pakaian kehinaan kepadanya pada hari Kiamat, kemudian dinyalakan api pada pakaiannya itu”.

Peranan berpakaian menutup aurat membentuk peribadi Muslimah sejati sudah diterima bukan sahaja di peringkat masyarakat Islam yang beriman sahaja, malah ianya turut diakui oleh mereka-mereka yang tidak beriman kepada Allah melalui pemerhatian dan kajian secara saintifk dan terperinci. Sebagai contoh;

R. Stevenson, Toronto Star (23 Januari 2002) menulis berhubung dengan etika berpakaian wanita Islam. Beliau berkata, “ketika saya dan rakan-rakan sedang makan malam di sebuah restoran, kami duduk bersebelahan dengan tiga orang wanita muda. Tiba-tiba dua orang wanita Islam masuk dengan pakaian yang agak konsevartif dan duduk bersebelahan dengan mereka. Kami dapat mendengar ketiga-tiga wanita tadi berbisik-bisik sesama sendiri berhubung kedua-dua wanita Islam itu, ‘mengapa mereka berpakaian seperti itu? Saya bersimpati dengan mereka!’. Ketiga-tiga wanita (barat) itu akhirnya membayar bil dan terus beredar. Mereka memakai seluar yang ketat, skirt yang singkat, kasut bertumit tinggi, gincu yang tebal dan bahagian dada mereka didedahkan secara yang menghairahkan.

Kami alihkan pandangan kami kepada kedua-dua wanita Islam tadi. Tudung mereka yang hitam menzahirkan peribadi mereka yang bersopan santun. Gaya mereka nampak asli. Pakaian mereka walaupun konservatif, menampakkan sifat kewanitaan yang indah. Berpakaian secara sopan menakutkan wanita barat, kenapa? Adakah kerana mereka tidak mahu kehilangan hak bagi menunjuk-nunjuk? Selepas kami berbincang berkenaan isu ini, kami merumuskan bahawa wanita-wanita Islam telah berjaya membebaskan diri mereka daripada perangkap fesyen tanpa perlu menunjuk-nunjuk, bersaing, berbelanja lebih dan menyeksa diri dengan diet melampau bagi menarik perhatian kaum lelaki atau wanita. Kami mendapati kedua-dua wanita Islam itu lebih menarik sekiranya dibandingkan dengan ketiga-tiga wanita barat tadi yang seperti berada dalam kedudukan terdesak untuk mendapatkan perhatian”.

Wanita Islam yang mementingkan adab dan kesopanan tidak akan terperangkap dengan suasana yang memperdayakan ini. Mereka berbangga dengan apa yang mereka miliki kerana bagi mereka semua itu milik Allah, dari Allah dan kepada Allah segala puji-pujian serta tempat kembali yang paling baik.

Menutup aurat mempunyai banyak kelebihan. Karima Burns (MH, ND) di dalam artikel The Science Behind the Veil di IslamOnline.net mengatakan ; “ujian-ujian menunjukkan 40-60 peratus daripada tahap kepanasan badan seseorang hilang melalui kepala justeru menutupnya terutamanya di musim sejuk dapat mengawal suhu badan seseorang berbanding mereka yang lain. Menutup kepala juga bermanfaat bagi kesihatan di musim panas. V.G. Rocine, seorang pakar otak, mengatakan fosforus otak menjadi cair pada suhu 108 darjah Fahrenheit. Keadaan ini boleh berlaku sekiranya seseorang berada di bawah panas terik tanpa tutupan kepala. Apabila fosforus cair fungsi otak akan menurun dan hal ini menyebabkan otak mengalami beberapa kesan negatif”.

Allah menjadikan psikologi lelaki dan wanita berbeza. Di dalam buku Brain Sex: The Real Difference Between Men and Women, Anne Moir and David Jessel berkata, “secara dasarnya kaum wanita tidak terangsang apabila melihat gambar-gambar bogel. Malah wanita tidak terangsang semasa melihat alat kemaluan lelaki. Sebaliknya kaum lelaki meminati gambar-gambar yang memaparkan kemaluan wanita kerana melalui gambar-gambar itu mereka mampu berkhayal melakukan (perbuatan-perbuatan lucah). Bagi kaum lelaki seks adalah pornografi yang mengiurkan, mereka hanya mementingkan tubuh, adapun bagi kaum wanita melalui hubungan romantik seperti perkataan dan ucapan di samping imej dan tema yang romantik, kasih sayang serta komitmen dalam hubungan menjadi daya tarikan bagi mereka”.